Menurut banyak riwayat, antara lain daripada Abdullah bin Umar bin Khattab, Hajar Aswad berasal dari syurga.Riwayat oleh Sa'id bin Jubair r.a daripada Ibnu Abbas daripada Ubay bin Ka'b r.a, menerangkan bahawa Hajar Aswad dibawa turun oleh malaikat dari langit ke dunia. Abdullah bin Abbas juga meriwayatkan bahawa Hajar Aswad adalah batu yang berasal dari syurga, tidak ada sesuatu selain batu itu yang diturunkan dari syurga ke dunia ini. Riwayat-riwayat di atas disebutkan oleh Abu al-Walid Muhammad bin Abdullah bin Ahmad al-Azraki (M.224 H/837 M), seorang ahli sejarah dan penulis pertama sejarah Mekah.Tidak ditemukan maklumat yang jelas tentang siapa yang meletakkan Hajar Aswad itu pertama kali di tempatnya di Kaabah; apakah malaikat atau Nabi Adam a.s.
Pada mulanya Hajar Aswad tidak
berwarna hitam, melainkan berwarna putih bagaikan susu dan berkilat memancarkan
sinar yang cemerlang. Abdullah bin Amr bin As r.a (7 SH-65 H) menerangkan,
perubahan warna Hajar Aswad daripada putih menjadi hitam disebabkan sentuhan
orang-orang musyrik. Hal yang sama diungkapkan oleh Zubair bin Qais (M. 76 H/65
M). Dikatakannya bahawa Hajar Aswad adalah batu dunia yang berasal dari
syurga yang dahulunya berwarna putih berkilauan, lalu berubah menjadi hitam
kerana perbuatan keji dan kotor yang dilakukan oleh orang musyrik. Namun, kelak
batu ini akan berwarna putih kembali seperti sedia kala.Menurut riwayat Ibnu
Abbas dan Abdullah bin Amr bin As, dahulu Hajar Aswad tidak hanya berwarna
putih tetapi juga memancarkan sinar yang berkilauan.Jika Allah SWT tidak memadamkan
kilauannya, tidak seorang manusia pun yang sanggup mamandangnya.
Pada tahun 606 M, ketika Nabi SAW
berusia 35 tahun, Kaabah mengalami kebakaran besar sehingga perlu dibina
kembali oleh Nabi Muhammad SAW dan kabilah-kabilah terdapat di Mekah ketika
itu. Semasa pembangunan semula itu selesai, dan Hajar Aswad hendak
diletakkan kembali ke tempatnya, terjadilah perselisihan di antara
kabilah-kabilah itu tentang siapa yang paling berhak untuk meletakkan batu itu
di tempatnya. Melihat keadaan ini, Abu Umayyah bin Mugirah dari suku
Makzum, sebagai orang yang tertua, mengajukan usul bahawa yang berhak
meletakkan Hajar Aswad di tempatnya adalah orang yang pertama sekali memasuki
pintu Safa keesokan harinya. Ternyata orang itu adalah Muhammad yang
ketika itu belum menjadi rasul. Dengan demikian, dialah yang paling berhak
untuk meletakkan Hajar Aswad itu di tempatnya. Akan tetapi dengan keadilan dan
kebijaksanaannya, Muhammad tidak langsung mengangkat Hajar Aswad itu. Baginda
melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah anggota kabilah yang
ada. Hajar Aswad lalu diletakkannya di tengah-tengah serban itu. Baginda
kemudian meminta para ketua kabilah untuk memegang seluruh tepi serban dan
secara bersama-sama mengangkat serban sampai ke tempat yang dekat dengan tempat
diletakkannya Hajar Aswad. Muhammad sendiri memegang batu itu lalu
meletakkannya di tempatnya. Tindakan Muhammad ini mendapat penilaian dan
penghormatan yang besar dari kalangan ketua kabilah yang berselisih faham
ketika itu.
Awalnya, Hajar Aswad tidak dihiasi
dengan lingkaran pita perak di sekelilingnya. Lingkaran itu dibuat pada
masa-masa berikutnya. Menurut Abu al-Walid Ahmad bin Muhammad al-Azraki (M. 203
H), seorang ahli sejarah kelahiran Mekah, Abdullah bin Zubair adalah orang
pertama yang memasang lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Aswad, setelah
terjadi kebakaran pada Kaabah.Pemasangan pita perak itu dilakukan agar Hajar
Aswad tetap utuh dan tidak mudah pecah. Pemasangan pita perak berikutnya dilakukan
pada 189 H, ketika Sultan Harun ar-Rasyid, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun
786-809 M), melakukan umrah di Masjidil Haram. Ia memerintahkan Ibnu
at-Tahnan, seorang pengukir perak terkenal ketika itu, untuk menyempurnakan
lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Aswad dan membuatnya lebih berkilat
dan berkilau. Usaha berikutnya dilakukan oleh Sultan Abdul Majid, Khalifah
Uthmaniah (1225-1277 H/1839-1861 M). Pada tahun 1268 H, baginda menghadiahkan
lingkaran emas untuk dililitkan pada Hajar Aswad, sebagai pengganti lingkaran
pita perak yang telah hilang. Lingkaran emas itu kemudian diganti
dengan lingkaran perak oleh Sultan Abdul Aziz, Khalifah Uthmaniah (1861-1876
M). Pada 1331 H, atas perintah Sultan Muhammad Rasyad (Muhammad V, memerintah
pada tahun 1909-1918), lingkaran pita perak itu diganti dengan lingkaran pita
perak yang baru. Untuk menjaga dan mengekalkan keutuhannya, Hajar Aswad sering
dililit dan dilingkari pita perak.
Sumber : Utusan online